"Pastikan Anda Telah "Install" Monzilla Fire Fox dan Flash Player Sebelum Melayari Portal ini"
SELAMAT BERJUANG

Selamat berjuang sahabatku...

semoga Allah berkatimu
kenangan indah bersamamu
takkan ku biar ia berlalu...

berjuanglah
hingga ke akhirnya

dan ingatlah semua ikrar kita...

Dalam perjalanan mereka pulang ke rumah,
Luqman Hakim telah menasihati anaknya tentang sikap
manusia dan telatah mereka, katanya :

"Sesungguhnya seseorang itu tidak terlepas dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tidak mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T sahaja. Barangsiapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap sesuatu."


Wednesday, December 10, 2008

AL LUGHAH MENURUT KALAM ALLAH..

BAHASA DARI PERSPEKTIF AL-QURAN


PENDAHULUAN


BAHASA adalah wahana tamadun. Dalam konteks tamadun Islam, wahana terawal yang mengungkapkan segala aspek ketamadunannya ialah bahasa Arab atas sifatnya sebagai bahasa al-Quran. Pemilihan bahasa Arab sebagai bahasa kitab suci yang terakhir memperlihatkan kekuatan dan keupayaannya sebagai bahasa agama yang saintifik, rasional, dan bersifat ilmu pengetahuan (Syed Naquib 1972: 37). Pemilihan bahasa Arab perlu juga dianggap sebagai simbol kelahiran serta kemantapan bahasa-bahasa lain yang turut menyumbangkan peranan yang besar dan penting ke arah pembinaan dan perkembangan tamadun Islam di seluruh pelosok dunia termasuklah bahasa Melayu di Nusantara.

Ibnu Khaldun (1331-1406M) menerusi karya agungnya Muqaddimah Ibni Khaldun meletakkan syarat bahawa kekuatan tamadun Islam hanya akan dapat disaksikan apabila penggunaan bahasa dijadikan sebagai "syiar agama" (t.t.: 420) dan dalam konteks ini, bahasa yang dimaksudkan beliau ialah bahasa Arab. Kekuatan bahasa itu sekali gus menjadi kekuatan kepada aspek-aspek lain yang akhirnya menghasilkan pula kekuatan kepada tamadun tersebut itu sendiri. Itulah yang berlaku kepada tamadun Islam.

Makalah ini mengandungi lima bahagian. Bahagian pertama membincangkan definisi bahasa yang diperjuangkan oleh al-Quran. Bahagian kedua membicarakan unsur-unsur bahasa yang diketengahkan oleh al-Quran. Bahagian ketiga memaparkan metodologi al-Quran dalam meletakkan konsep asas bahasa dan linguistik seperti retorik, sosiolinguistik, psikolinguistik, komunikasi, dan sebagainya. Bahagian keempat mengupas gagasan nilai dalam bahasa yang diterapkan oleh al-Quran. Manakala bahagian terakhir pula merumuskan sumbangan al-Quran terhadap bahasa-bahasa yang menerima pengaruh Islam.

DEFINISI BAHASA

MENURUT Imil Badi (1986:13), tidak ada definisi mutlak bagi bahasa.
Ahli-ahli bahasa sendiri tidak dapat menentukan definisi tunggal bagi bahasa kerana luasnya perkaitan antara disiplin bahasa dengan disiplin lain seperti psikologi, sosiologi, mantik, falsafah, biologi, dan berbagai-bagai disiplin lagi. Kesemua disiplin tersebut melihat bahasa dari perspektif yang berbeza mengikut metodologi masing-masing.

Namun begitu, secara amnya, bahasa dapatlah diertikan sebagai satu sistem komunikasi manusia yang terdiri daripada bunyi-bunyi berstruktur (atau yang bertulis) kepada unit yang lebih besar seperti morfem, perkataan, ayat (Richards, Platt & Platt 1992:196) yang dihasilkan oleh organ pertuturan untuk membolehkan manusia berinteraksi antara satu sama lain (Anis:1973:14). Inilah juga definisi yang dikemukakan oleh al-Quran menerusi ayat yang bermaksud:

"Tidakkah engkau lihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu kalimah yang baik adalah sebagai batang pokok yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah membuat perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat dan mendapat pelajaran".

(Surah Ibrahim: 24-25)

Hamka dalam tafsiran ayat ini berpendapat bahawa al-Quran menganjurkan supaya manusia menggunakan keupayaan berbahasa yang dianugerahi Allah berdasarkan ketentuan aqidah, syarak, dan akhlak yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Bahasa seharusnya digunakan untuk meningkatkan keimanan, ketaqwaan, dan amal saleh. Bahasa yang dapat mencapai matlamat tadi diibaratkan sebagai tanah yang subur dan benih yang baik, apabila ditanam menumbuhkan pohon yang rendang dan buah yang ranum, memberi manfaat dan kebaikan kepada manusia dan haiwan. Sebagai tempat berteduh dan berlindung ketika panas dan menghilangkan lapar dan dahaga dengan buah yang ranum dan manis (Hamka 1983: 138-42).

Dalam erti kata lain, bahasa yang baik lagi bernilai terhasil daripada budi dan sopan santun serta bertitik tolak daripada keimanan, ketaqwaan, dan amal saleh yang akhirnya membawa keamanan dan menghasilkan kesejahteraan kepada kehidupan manusia di dunia dan di akhirat. Inilah konsep bahasa yang diperjuangkan oleh Islam.

Dari perspektif falsafah bahasa, definisi, dan konsep ini menyingkap hubungan antara bahasa dengan ilmu pengetahuan manusia, proses berfikir, pandangan semesta, dan realiti kewujudan serta kehidupan manusia. Pada peringkat ini, bahasa dapat disifatkan sebagai wahana utama bagi menjana segala kegiatan manusia baik perhubungan, pengucapan, perakaman mahupun perwarisan dalam tamadun manusia (Hashim:1994: xi).

Untuk meninjau kedudukan dan keupayaan al-Quran sebagai sumber bahasa, definisi al-Quran akan diteliti terlebih dahulu. Menurut definisi yang disepakati oleh jumhur ulamak dan ahli usul (Muhammad Ali al-Sabuni 1988: 12) al-Quran ialah:

"Kalam Allah yang penuh mukjizat diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. melalui perantaraan Malaikat Jibril a.s., ditulis dalam mashaf, diturunkan secara beransur-ansur, pembacaannya adalah ibarat, bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas".

Al-Quran dapat digambarkan sebagai sebuah bahasa yang bersifat rabbani. Banyak sekali perkataan yang digunakan oleh Allah s.w.t. bagi menjelaskan bahawa al-Quran adalah sebuah bahasa. Malahan perkataan "al-Quran" itu sendiri yang bermakna "bacaan" disifatkan sebagai bahasa kerana sesuatu yang menjadi bahan bacaan pasti mempunyai sistem-sistem bahasa agar dapat difahami oleh pembacanya (lihat surah al-Qiyamah:17-18). Begitu juga halnya dengan perkataan lain seperti al-Kitab, al-Furqan, dan al-Zikr. Al-Kitab bererti buku, al-Furqan bermakna pembeza antara hak dengan yang batil sementara al-Zikr bermaksud peringatan. Daripada ketiga-tiga sinonim tersebut, nyata sekali bahawa keupayaan dan kekuatan al-Quran direalisasikan oleh satu sistem bahasa yang mantap, saintifik lagi rasional.

UNSUR BAHASA MENURUT AL-QURAN

AL-QURAN mengemukakan berbagai-bagai unsur bahasa. Kepelbagaian ini membawa kepada lahirnya berbagai-bagai tasawwur tentang bahasa seperti yang dibincangkan dalam bahagian definisi. Antara unsur bahasa yang diketengahkan oleh al-Quran termasuklah:

Bahasa adalah alat mengenal Tuhan berdasarkan ayat pertama yang bermaksud:
"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhan Yang menciptakan". (Surah al-'Alaq: 1)

Bahasa adalah ilmu yang diajarkan oleh Allah s.w.t. berdasarkan ayat yang bermaksud:
"Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (perkataan-perkataan) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu berfirman: "Sebutkanlah kepada-Ku nama-nama itu jika kamu memang orang-orang yang benar". (Surah al-Baqarah: 31)

Bahasa adalah lambang kesempurnaan kejadian manusia berdasarkan ayat yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami telah mencipta manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya". (Surah al-Tin: 4)

Bahasa adalah alat untuk menusia beribadat kepada Allah berdasarkan ayat yang bermaksud:
"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu". (Surah al-Zariyat: 56)

Bahasa adalah alat interaksi manusia berdasarkan ayat yang bermaksud:
"Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal". (Surah al-Hujurat: 13)

Bahasa adalah alat manusia berfikir berdasarkan ayat yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa al-Quran dengan berbahasa Arab agar kamu berfikir".
(Surah Yusuf: 2)

Bahasa bukti kekuasaan Tuhan dalam mencipta organ pertuturan manusia berdasarkan ayat yang bermaksud:
"... dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati (tetapi) kamu sedikit sekali bersyukur". (Surah al-Sajadah: 9)

Bahasa adalah media kehidupan bersosial berdasarkan ayat yang bermaksud:
"(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan) yang menyakitkan hati. Dan (ingatlah) Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun".
(Surat al-Baqarah: 263)

Bahasa adalah media dakwah berdasarkan ayat yang bermaksud:
"Serulah ke jalan Tuhanmu dengan penuh hikmah (perkataan yang tegas dan benar yang dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil) dan peringatan (dengan cara) yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang terbaik". (Surah al-Nahl: 125)


METODOLOGI BAHASA DAN LINGUISTIK


DARIPADA kaca mata Islam, manusia dicipta oleh Allah s.w.t. (lihat surah al-Mukminun: 12 & 13). Tujuan penciptaan manusia ialah supaya manusia mengenali Allah s.w.t. sebagai Tuhan dan mengabdikan diri kepada-Nya (lihat surah al-Zariyat: 56). Untuk menyempurnakan pengabdian atau peribadatan ini, Allah s.w.t. tidak menjadikan manusia secara sia-sia (lihat surah al-Mukminun: 115) bahkan membekalkan manusia organ-organ bahasa agar manusia berinteraksi dengan-Nya dan juga agar manusia berinteraksi dengan manusia serta alam (lihat surah al-Sajadah: 9).

Matlamat "ibadat" kepada Allah s.w.t. inilah yang menjadi dasar kepada metodologi bahasa dan linguistik yang akan dibincangkan dalam bahagian ini. Allah s.w.t. telah membayangkan satu gagasan metodologi yang menjadi tunjang kekuatan al-Quran menerusi firman-Nya:

"Dan Kami turunkan daripada al-Quran itu suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman". (Surah al-Isra': 82)

Metodologi bermakna kaedah saintifik yang digunakan dalam mengendalikan sesuatu perkara, termasuk juga dalam pengumpulan dan penganalisisan data. Dalam hal ini, prinsip metodologi yang dikemukakan oleh al-Quran ialah prinsip yang menjadi penawar dan pembawa rahmat kepada segala isi alam. Oleh itu, metodologi yang digunakan dalam al-Quran ialah metodologi yang dapat memenuhi keperluan asas komunikasi manusia-Allah s.w.t. dan manusia-alam dalam ruang lingkup makrolinguistik yang serba luas skopnya seperti psikolinguistik, sosiolinguistik, komunikasi, retorik, dan kognisi melalui satu sistem dalam konteks bahasa dan linguistik khasnya. Akhirnya metodologi ini menuju matlamat menjadikan manusia mengenali dan mengabdikan dirinya kepada Allah s.w.t.

Dari satu sudut yang lain, metodologi bahasa yang diketengahkan oleh al-Quran turut menggunakan pendekatan berasaskan empirisme dan rasionalisme menampilkan prinsip kehalusan dan ketepatan sebutan yang digabungkan dengan keindahan kata-kata serta jangkauan semantik yang cukup mendalam dan menarik. Oleh sebab itulah antara kriteria yang mesti dipenuhi bagi menjadi seorang mujtahid, mufassir, atau faqih termasuklah menguasai bahasa Arab. Penguasaan di sini bukan sekadar dapat bertutur, menulis, dan membaca, memahami makna-makna semantik, kehalusan retorik, struktur sintaksis dan struktur morfologinya, tetapi lebih jauh dari itu, dapat menerapkan prinsip-prinsip dan ciri-ciri bahasa dan linguistik sebagai wahana dalam mengemukakan dan mengupas pandangan, dalam mentafsir ayat atau hadis dan dalam menentukan hukum. Kegagalan memenuhi kriteria ini akan menjejaskan maksud sebenar yang terkandung dalam al-Quran dan hadis, dua sumber utama agama Islam.

Dengan ini, metodologi bahasa yang terkandung dalam al-Quran berfungsi mencorakkan pola kemahiran, pandangan semesta, komunikasi serta tingkah laku manusia. Al-Quran memaparkan sistem bahasa yang indah kerana naluri manusia suka akan keindahan. Al-Quran mengetengahkan sistem bahasa yang tinggi tipologinya untuk merangsang manusia berfikir dan bertindak sesuai dengan tahap ketinggian ilmunya. Al-Quran turut menggunakan sistem bahasa yang tepat supaya manusia sentiasa meletakkan kebenaran sebagai asas dalam menghisab tanggungjawabnya sebagai hamba kepada Allah s.w.t. dan tanggungjawabnya sebagai khalifah kepada diri sendiri, keluarga, dan orang lain. Dan yang paling penting al-Quran mengungkapkan sistem bahasa yang berupaya menyatukan aqidah, syariat, dan akhlak semua manusia meskipun berlainan bangsa, ras, budaya, dan jantina.


GAGASAN NILAI BAHASA


BAHAGIAN ini membincangkan kedudukan dan keupayaan bahasa yang berorientasikan al-Quran, iaitu bahasa Arab. Namun begitu, bukanlah menjadi matlamat makalah ini untuk menafikan keupayaan bahasa-bahasa lain terutamanya yang banyak memainkan peranan dalam perkembangan Islam seperti bahasa Inggeris atau bahasa Melayu di Nusantara. Subhi Salleh (1986: 362) linguis Arab sendiri pernah menegaskan bahawa sekalipun bahasa Arab banyak memiliki keistimewaan dari segi derivasi, paradigma, dan pengungkapan, tetapi tidak ada sebab untuk membezakannya daripada bahasa-bahasa lain di sebalik sentimen agama atau nasionalisme. Menurut beliau lagi, yang perlu dibezakan ialah metodologi yang digunakan oleh bahasa-bahasa dalam perkembangan dan pengukuhannya (Subhi: ibid.: 362).
Al-Quran telah menerapkan satu sistem nilai atau aksiologi bahasa yang tidak terdapat dalam bahasa-bahasa lain. Sebelum al-Quran diturunkan, bahasa Arab Jahiliah adalah bahasa yang lebih suci dan bebas daripada pengaruh estetik dan istilah metos, metafizik, dan falsafah agama yang tentu mengelirukan berbanding dengan bahasa Yunani-Romawi Kuno, bahasa Iran-Farsi Kuno, dan bahasa-bahasa yang digunakan orang di Timur Tengah zaman itu (Syed Naquib ;op.cit.: 37) dalam rumpun Semitiknya. Inilah salah satu sebab mengapa bahasa Arab dipilih sebagai bahasa al-Quran. Pemilihan ini dijelaskan juga oleh Allah s.w.t. dalam ayat yang bermaksud:

"Dan jika Kami jadikan al-Quran itu suatu bacaan dalam bahasa selain bahasa Arab tentulah mereka mengatakan: 'Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya?' Apakah (patut al-Quran) dalam bahasa asing sedang (rasul adalah orang) Arab? Katakanlah: 'Al-Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang-orang yang beriman'". (Surah Fussilat: 44)

Selain itu, Allah s.w.t. turut menyebutkan perkataan "'Arab" sebagai kata keterangan sifat bagi al-Quran dalam sepuluh ayat yang lain melalui dua paradigme yang berbeza (Jabatan Leksikografi: 1990: 775).

Antara nilai bahasa yang dapat digarap menerusi al-Quran termasuklah:

1. Penggunaan bahasa dalam pengkajian ilmu-ilmu Allah s.w.t. (lihat surah al'Alaq: 3-5) sebenarnya tidak terbatas keluasannya (lihat surah al-Kahfi: 109) termasuklah dalam aspek kebahasaan dan linguistik itu sendiri sama ada makrolinguistik, mikrolinguistik, terapan, ataupun bukan terapan.

2. Kekuatan bahasa bergantung pada kemampuan perbendaharaan kosa kata dalam memperkatakan konsep ketuhanan, keduniaan, dan keakhiratan serta perkara-perkara yang menyentuh persoalan metafizika.

3. Etika sosial perlu wujud bersama-sama bahasa sama ada yang melibatkan gender usia, atau latar belakang yang berbeza. Dalam isu gender, al-Quran telah mengangkat martabat wanita dengan mengisyaratkan bahawa kehidupan manusia memerlukan interaksi antara lelaki dengan wanita di dunia dan di akhirat (Ibrahim Ibrahim:1988: 17).

4. Perkembangan dan pemantapan bahasa menuntut kadar penggunaan bahasa yang tinggi di kalangan pengguna bahasa (penutur, penulis, pembaca, dan pengkaji bahasa). Nilai ini bermula dengan budaya celik bahasa (lihat surah al-'Alaq:1).

5. Ketepatan bahasa dan struktur yang tidak berbelit-belit (ghair zu 'iwajin) adalah faktor ketahanan dan keluasan penggunaannya sama ada dalam bentuk ayat yang pendek, sederhana, atau panjang (lihat surah Al-Zumar: 28).

6. Kejelasan perkataan dan ayat dari segi ketepatan sebutan dalam pemindahan maksud dari seorang pengguna bahasa kepada seorang pengguna bahasa yang lain hasil penyatuan makna (fussilat ayatuhu) (lihat surah Fussilat: 3) sehingga mencapai tahap stonda.

7. Keluasan sasaran (rahmatan lil 'alamin) (lihat surah al-Anbiya': 107). Nilai ini adalah nilai sepanjang zaman kerana al-Quran diturunkan bukan sekadar memenuhi keperluan masyarakat Arab Jahiliyyah di Semenanjung Arab pada era pra-Islam semata-mata, tetapi menjangkaui batasan masa dan geografi dari satu generasi ke generasi yang lain.

8. Bahasa Arab akan menjadi bahasa yang kekal terpelihara, sama ada terpelihara dengan maksud tidak akan lenyap sehinggalah Hari Kiamat ataupun terpelihara dalam erti kata tidak kehilangan identitinya (lihat surah al-Hijr: 9). Namun hal ini tidak bermakna bahawa al-Quran menolak pragmatisme bahasa.

9. Ketinggian tahap infleksinya. Hakikat ini diakui oleh ahli bahasa bukan Arab seperti Asmah Haji Omar (1991:56). Menurut beliau, bahasa Arab adalah bahasa yang memiliki tahap infleksi yang tinggi kerana perubahan-perubahan dalaman yang dialaminya berbanding dengan bahasa Melayu yang lebih mengutamakan unsur pelekatan dan penambahan di awal dan di akhir perkataan.

10. Uslub, gaya bahasa, dan makna ayat (sintaksis dan semantik). Menurut Ibrahim al-Samirra'iy (1983:173), al-Quran mencetuskan budaya keindahan uslub, susunan, dan makna dalam bahasa kepada masyarakat Islam. Budaya ini telah meniup semangat tokoh-tokoh seperti Abu 'Amru bin al-'Ala', Abu 'Ubaidah, Ibnu Qutaibah, al-Tabariy dan lain-lain untuk menghasilkan tulisan mereka.

SUMBANGAN AL-QURAN TERHADAP BAHASA DUNIA

AL-QURAN mempunyai pengaruh dan kesan yang amat mendalam serta meluas dalam semua bahasa tempatan yang menerima Islam. Kuatnya pengaruh tersebut dapat dilihat dari segi jumlah perkataan pinjaman bahasa Arab yang terdapat dalam sesuatu bahasa tempatan (Mustafa 1996: 60).

M.A.J. Beg (1979: xiv) membahagikan sumbangan al-Quran kepada dua kategori, iaitu sumbangan umum dan sumbangan khusus. Sumbangan umum bermaksud sumbangan perbendaharaan kata yang berasaskan al-Quran yang dipinjam dan diterima pakai sebagai sebahagian daripada bahasa semua bangsa yang memeluk Islam dari Indonesia sehinggalah Sahara Barat.

Terdapat sekian banyak kelompok bahasa dalam Asia, Afrika, dan Eropah yang meminjam perkataan Arab dan kelompok ini diringkaskan seperti yang berikut:


Bahasa Asia ialah Parsi, Turki, Kurdis, Urdu, Hindi, Origa, Melayu, Tamil, Tibet, dan lain-lain.
Bahasa Afrika ialah Swahili, Somali, Amhara, Berber, Hausa dan lain-lain.
Bahasa Eropah ialah Sepanyol, Portugis, Latin, Inggeris, Perancis, Itali dan lain-lain.

Dari segi sumbangan khusus, al-Quran atau bahasa Arab telah mempengaruhi sekurang-kurangnya empat bahasa lingua franca dunia, iaitu bahasa Melayu, Urdu, Swahili, dan Hausa. Bahasa Melayu dituturkan di seluruh Alam Melayu khususnya di Malaysia dan di Indonesia, bahasa Urdu di Pakistan, di India dan di Bangladesh, bahasa Swahili dituturkan di Nigeria, di Kenya, di Uganda, di Tanzania sementara bahasa Hausa pula dituturkan di Niger, di Cameroon dan sebagainya.

Terdapat dua cara bagaimana pengaruh ini boleh berlaku, iaitu melalui proses islamisasi dan perhubungan secara langsung dengan bangsa Arab (M.A.J. Beg:ibid.: 1). Yang lebih menarik ialah semua bahasa tersebut menggunakan abjad Arab dalam tulisan. Ada juga bahasa yang menerapkan sistem nahu dan struktur sintaksis yang sama dengan bahasa Arab.

RUMUSAN

TAMADUN yang dibangunkan oleh manusia memerlukan satu sistem bahasa yang baik bukan hanya untuk berkomunikasi tetapi juga untuk mengungkapkan konsep dan nilai keintelektualan, merancang kegiatan ekonomi mereka dan berbagai-bagai lagi kegiatan dalam kehidupan. Keperluan bahasa semakin lama semakin meningkat dan bertambah lebih-lebih lagi setelah berbagai-bagai kemajuan dan pencapaian dihasilkan. Sebagai contoh, dalam beberapa tahun belakangan ini sahaja beberapa cabang baru linguistik telah dikembangkan hasil daripada kombinasi dengan beberapa disiplin seperti antropologikal linguistik, psikologuistik serta sosiolinguistik (Richard, Platt dan Platt : op.cit.: 215).

Sejarah tamadun Islam membuktikan betapa penting dan besarnya fungsi bahasa. Oleh hal yang demikian, bersesuaian dengan fungsinya yang penting dan besar ini, konsep bahasa sebagai media dalam tamadun Islam sebenarnya dibentuk oleh suatu sumber yang penuh kemukjizatan, iaitu al-Quran serta dipandu pula oleh nilai aqidah dan akhlak.

Al-Quran sebagai sumber utama tamadun Islam telah menyediakan kerangka induk sebuah sistem bahasa rabbani. Matlamat al-Quran ialah menjadikan bahasa sebagai cara dan alat untuk manusia mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dalam konteks hubungan hablum minallah dan hablum minannas. Pemilihan bahasa Arab jelas mencerminkan kekuatan yang dimilikinya dan sumbangan yang diberikan oleh al-Quran melalui gagasan nilai mengangkat lagi martabat bahasa ini sebagai bahasa yang memberi sumbangan paling besar terhadap perkembangan tamadun Islam.
,
Sumber: http://www.bicaramuslim.com

0 comments:

 
~HAWA~ © 2007 Template feito por Templates para Você