"Pastikan Anda Telah "Install" Monzilla Fire Fox dan Flash Player Sebelum Melayari Portal ini"
SELAMAT BERJUANG

Selamat berjuang sahabatku...

semoga Allah berkatimu
kenangan indah bersamamu
takkan ku biar ia berlalu...

berjuanglah
hingga ke akhirnya

dan ingatlah semua ikrar kita...

Dalam perjalanan mereka pulang ke rumah,
Luqman Hakim telah menasihati anaknya tentang sikap
manusia dan telatah mereka, katanya :

"Sesungguhnya seseorang itu tidak terlepas dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tidak mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T sahaja. Barangsiapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap sesuatu."


Saturday, September 04, 2010

Bersama meraih nikmat Qiamullail



Imam Nawawi berkata: Hadis ini diriwayatkan oleh al-Nasa’i dan Ibn Majah dengan sanad sahih

mengikut syarat Imam Muslim.

Maksudnya: “Siapa yang masuk tidur dalam keadaan berniat untuk bangun solat pada waktu malam tersebut, lalu matanya mengalahkannya (ia tidak terjaga pada malam itu)sehingga masuk waktu subuh,ditulis baginya apa yang diniatkan olehnya. Adapun tidurnya pada malam itu menjadi sedekah ke atasnya daripada Tuhannya.”

Semoga Allah SWT. mengurniakan ketaqwaan kepada kita setelah menjalani ibadah di bulan Ramadan ini. Kita keluar darinya nanti dengan beroleh rahmah, keampunan dan selamat dari api neraka. Ameen.

Rujukan buku: INDAHNYA SAAT BERSAMA-MU (panduan praktikal qiamullail)

oleh Ustaz Nik Abd.Rahim Nik Abd Ghani dan Ustaz Zahazan Mohamed.


p/s: Sebutlah Nama-Nya dengan penyerahan yang sebenar-benarnya pada Sang Pencipta.

Allah pemilik segalanya.

Skim Mikroredit bantu rakyat berniaga



Oleh: Khaulah Azwar

SABAK BERNAM, 4 Sept: Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil inisatif untuk membantu rakyat daripada terus dibelenggu kemiskinan sehingga menerima berbagai ugutan oleh anasir along akibat berhutang.

Skim Mikrokredit Selangor (SKIMSEL) yang telah dilancarkan kelmarin di Masjid Makrufiah Parit Baru Sabak Bernam, yang telah dirasmikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar dengan tujuan untuk membantu rakyat yang dalam kesusahan.

Bagi Khalid, pelancaran skim itu menjadi satu lagi mercu tanda komitmen kerajaan negeri untuk membantu golongan miskin secara terus.

Antara lain skim itu bertujuan untuk membantu golongan miskin memperolehi dana bagi menjalankan perniagaan sebagai salah satu usaha membebaskan mereka dari kitaran kemiskinan.

Adalah jelas dengan perkembangan keadaan ekonomi semasa, rakyat perlu disediakan dengan satu alternatif untuk keluar dari kepompong kemiskinan dengan cara yang sangat tidak membebankan.

Penyedia hutang pada masa kini tumbuh bagaikan cendawan subur, tetapi nyata sebahagiannya hanya menambahkan beban mereka yang terlibat kerana cara ini tidak membantu untuk meningkatkan taraf mutu kehidupan.

Kerajaan negeri berhasrat dengan wujudnya kkim ini, kekangan-kekangan ekonomi dapat dicantas bagi membangun sebuah negeri yang makmur ekonominya dan kemakmuran itu dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr Hasan Ali berkata Yayasan Dar Al-Qard Al-Hasan Selangor akan memastikan amanah yang diberikan kepadanya oleh kerajaan negeri akan dijaga dengan sebaik-baiknya.

Katanya, seluruh tenaga pengendalian telah berikrar pada saban masa dan ketika menjalankan skim itu dengan penuh amanah, bertanggungjawab, dedikasi dan mengambilnya sebagai satu amalan jihad.

"Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM70 juta untuk tujuan membiayai skim ini. RM50 juta untuk masyarakat luar bandar dan RM20 juta untuk masyarakat bandar," ujarnya.

Di peringkat awal, skim itu akan beroperasi di kawasan Sabak Bernam manakala menjelang akhir 2010, ia akan diperluas ke Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.

Bagi masyarakat bandar, jadual perlaksanaan skim yang sama sedang disiapkan oleh pasukan pengendali yang diterajui oleh Exco kerajaan negeri, Rodziah Ismail.

Dalam majlis pelancaran tersebut, seramai 50 penerima pinjaman menerima pembiayaan daripada Menteri Besar di mana setiap penerima menerima pembiayaan modal perniagaan sebanyak RM3,000 dengan tempoh bayaran maksimum selama 12 bulan.

Skim itu tidak memerlukan cagaran, tidak dikenakan faedah dan penerima pinjaman tidak akan diheret ke mahkamah.

Pengalaman mengendalikan skim yang serupa mendapati bahawa kesepakatan kumpulan-kumpulan kecil yang dimestikan bermesyuarat setiap minggu telah menyaksikan pembayaran balik mencecah seratus peratus.


*************************************
Oleh: Ibn Ali

Penulis memetik dari buku Tabiat ke 8 Stephen Covey. Membaca ni perlu kawan-kawan. Supaya kita sentiasa setiap hari bertambah maju tidak kaku dan tidak lesu. Membaca kemudian berdiskusi. Maka, kita akan jumpa orang-orang baru yang di luar dari daerah kita selama ini dan pengalaman-pengalaman baru yang lebih menarik untuk ditiru dan disesuaikan di bumi kita. Ini, Muhammad Yunus. Bukan Mahmud Yunus si pengarang tafsir dari Indonesia. Baik, enjoy.


Bagi menerangkan suara dengan lebih lanjut, biar saya memperjelaskannya melalui sebuah cerita benar mengenai seorang lelaki. Apabila saya bertemu dengan Muhammad Yunus, pengasas Bank Grameen – sebuah organisasi unik yang ditubuhkan hanya untuk satu tujuan iaitu untuk memberi pinjaman mikro kepada mereka yang paling miskin di Bangladesh – saya bertanya kepadanya bila dan bagaimana dia mendapat wawasan. Dia berkata pada permulaannya dia tidak mempunyai sebarang wawasan. Dia hanya melihat seorang manusia yang mempunyai keinginan, dia cuba menyempurnakan keinginan itu, dan wawasan itu berkembang. Wawasan Muhammad Yunus untuk mewujudkan sebuah dunia yang bebas dari kemiskinan bermula dengan satu kejadian di sebuah lorong di Bangladesh. Semasa menemubualnya dia untuk sebuah rencana berita (New York Times Syndicate) berkenaan Kepimpinan, dia berkongsi ceritanya bersama-sama saya:

Semuanya bermula dua puluh lima tahun dahulu. Saya sedang mengajar matapelajaran ekonomi di sebuah universiti di Bangladesh. Negara itu sedang dilanda kebuluran. Saya berasa amat kecewa. Saya mengajar teori ekonomi yang sangat menarik dan baik sekali di dalam bilik kuliah dengan penuh semangat sebagai seseorang yang baru mendapat sarjana kedoktoran dari Amerika Syarikat. Tetapi saya akan melangkah keluar dari bilik kuliyah itu dan melihat rangka-rangka, manusia yang hanya menunggu masa untuk mati.

Saya merasakan apa yang telah saya pelajari, apa yang telah saya ajar adalah dongeng dan rekaan semata-mata, tanpa ada sebarang makna dalam kehidupan manusia . Jadi saya bermula dengan mencuba untuk memahami cara kehidupan orang-orang kampung di sebelah kampus universiti saya. Saya ingin mengetahui jika ada sesuatu yang boleh saya lakukan sebagai seorang manusia untuk melambatkan atau menghentikan kematian itu, walaupun untuk seorang. Saya meninggalkan pemerhatian dari jauh saya yang hanya membenarkan anda melihat dari jauh, dari langit. Saya mengambil pendekatan untuk melihatnya dengan lebih dekat, cuba mencari apa sahaja yang datang di hadapan saya – untuk menghidunya, untuk menyentuhnya, melihat sekiranya saya boleh melakukan sesuatu terhadapnya.

Satu kejadian telah membawa saya ke suatu arah yang baru. Saya bertemu dengan seorang wanita yang membuat bangku dari buluh. Selepas satu perbincangan yang panjang, saya mendapat tahu bahawa dia hanya mendapat dua sen (matawang Amerika Syarikat) sehari. Saya tidak mempercayai bahawa seseorang yang bekerja keras dan menghasilkan bangku-bangku buluh yang cantik itu hanya mendapat keuntungan yang amat sedikit. Dia menerangkan kepada saya yang dia tidak mempunyai wang untuk membeli buluh bagi membuat bangku-bangku tersebut, dia perlu meminjam dari seorang peniaga – peniaga itu meletakkan syarat di mana bangku-bangku yang dihasilkan oleh wanita itu hanya boleh dijual kepada peniaganya sahaja, pada harga yang telah ditetapkan oleh peniaga tersebut.

Dan itu telah menjelaskan kepada saya tentang dua sen tersebut – dia sebenarnya telah menjadi buruh paksa kepada peniaga itu. Dan berapakah harga buluh-buluh itu? Wanita itu berkata, "Oh, lebih kurang dua puluh sen. Dua puluh lima sen untuk yang lebih baik." Saya berfikir, `Orang menderita untuk dua puluh sen dan tiada apa yang boleh dilakukan oleh sesiapa?" Saya berdebat sama ada patutkah saya memberinya dua puluh sen, tetapi kemudiannya saya mendapat satu idea yang lain – saya akan menyenaraikan orang yang memerlukan wang sebanyak itu. Saya mengajak seorang pelajar saya dan kami pergi ke seluruh kampung itu untuk beberapa hari dan telah menyenaraikan empat puluh dua orang yang berada di dalam keadaan yang serupa. Apabila saya mengira jumlah wang yang mereka perlukan, saya mendapat kejutan terbesar di dalam hidup saya: Jumlahnya adalah dua puluh tujuh dolar! Saya berasa malu kepada diri saya sendiri kerana menjadi sebahagian daripada masyarakat yang tidak boleh memperuntukkan hanya dua puluh tujuh dollar kepada empat puluh dua orang yang mahir dan rajin bekerja.

Untuk mengelak dari malu, saya mengeluarkan wang dari poket saya sendiri dan memberinya kepada pelajar saya. Saya berkata, "Awak ambil wang ini dan berikannya kepada empat puluh dua orang yang kita temui dan katakan kepada mereka ini adalah satu pinjaman, tapi mereka boleh membayar balik wang tersebut kepada saya bila-bila masa mereka mampu. Pada masa yang sama mereka boleh menjual barangan mereka di mana-mana mereka boleh mendapat harga yang tinggi.

Setelah menerima wang itu, mereka menjadi teruja. Keseronokan itu membuatkan saya berfikir, "Apa yang saya perlu lakukan sekarang?" Saya teringatkan cawangan bank yang terletak di dalam kawasan kampus universiti saya dan saya telah pergi berjumpa pengurus bank tersebut lalu mencadangkan kepadanya supaya dia memberikan pinjaman kepada orang-orang miskin yang telah saya temui di kampung tersebut. Dia sangat terkejut! Dia berkata, "Awak sudah gila. Itu tidak mungkin boleh berlaku. Bagaimana boleh kami pinjamkan wang kepada orang-orang miskin? Mereka tidak boleh dipercayai untuk meminjam wang." Saya merayu kepadanya dan berkata, "Sekurang-kurangnya cubalah, untuk mengetahui – ia hanya satu jumlah wang yang kecil." Dia berkata, "Tidak. Peraturan-peraturan kami tidak membenarkannya. Mereka tidak boleh menawarkan sebarang cagaran, dan jumlah yang sekecil itu tidak berbaloi untuk diberi pinjam." Dia mencadangkan supaya saya bertemu dengan pegawai-pegawai tinggi di dalam hierarki perbankan Bangladesh. Saya menurut nasihatnya dan pergi bertemu dengan orang-orang penting di dalam bahagian perbankan. Setiap dari mereka menyatakan perkara yang sama kepada saya. Akhirnya, setelah ke sana dan ke mari untuk beberapa hari, saya menawarkan diri sebagai penjamin. "Saya akan menjamin pinjaman itu, saya akan tandatangani apa saja yang mereka ingin saya tandatangani, dan mereka bolehlah memberi wang itu kepada saya dan saya akan memberinya kepada orang-orang yang saya ingin beri."

Jadi itulah permulaannya. Mereka berkali-kali member peringatan kepada saya bahawa orang-orang miskin yang menerima wang tersebut tidak akan membayarnya kembali. Saya berkata, "Saya akan menerima risikonya." Dan apa yang menjadi kejutan adalah, mereka membayar setiap sen kepada saya. Saya menjadi teruja dan datang kepada pengurus tersebut dan berkata, "Lihat, mereka telah membayar kembali pinjaman itu, tidak ada masalah." Tetapi dia berkata, "Oh, tidak, mereka hanya mempersenda- sendakan anda. Nanti mereka akan mengambil lebih banyak wang dan tidak membayarnya kembali kepada anda." Jadi saya memberi mereka lebih banyak wang, dan mereka membayarnya kembali kepada saya. Saya memberitahu kepada pengurus tersebut, tetapi dia pula berkata, "Mungkin anda boleh melakukannya dengan sebuah kampung, tetapi jika anda lakukan dengan dua buah kampung, ia tak akan berjaya." Saya dengan cepat melakukannya dengan dua buah kampung – dan ia berjaya."

Ia menjadi seperti satu pergelutan di antara saya dengan pengurus bank tersebut dan rakan-rakan sekerjanya yang berkedudukan tinggi. Mereka tetap menyatakan dengan jumlah yang lebih besar, mungkin 5 buah kampung, perbuatan tidak membayar hutang akan dipertontonkan. Jadi saya melakukan dengan lima buah kampung, dan ia menunjukkan yang mereka membayar balik pinjaman tersebut. Mereka masih tidak mahu mengalah. Mereka berkata, "Sepuluh kampung, lima puluh kampung, seratus kampung." Dan ia menjadi seperti suatu pertandingan di antara mereka dengan saya. Saya mendapat hasil yang tidak boleh mereka nafikan kerana wang yang saya pinjamkan adalah milik mereka, tetapi mereka tidak dapat menerimanya kerana mereka dilatih untuk mempercayai bahawa orang-orang miskin tidak boleh dipercayai. Saya bernasib baik kerana tidak dilatih dengan cara sedemikian dan dengan itu saya boleh mempercayai apa sahaja yang saya saksikan, apabila ia menjelmakan dirinya. Tetapi dengan pemikiran pegawai-pegawai bank tersebut, mata mereka telah dibutakan oleh ilmu yang mereka ada.

Akhir sekali saya berfikir, Kenapa perlu saya cuba untuk meyakinkan mereka? Saya mempunyai penuh keyakinan bahawa orang-orang miskin akan meminjam wang dan membayarnya kembali. Mengapakah kita tidak menubuhkan bank yang berasingan? Itu membuatkan saya rasa sangat teruja, dan saya menulis satu kertas cadangan dan memohon kepada kerajaan untuk mendapatkan kebenaran bagi menubuhkan sebuah bank. Saya telah mengambil masa selama dua tahun untuk meyakinkan pihak kerajaan.

Pada 2 haribulan Oktober tahun 1983, kami menubuhkan sebuah bank – sebuah bank yang rasmi dan bebas. Dan ia menjadi suatu keseronokan buat kami, sekarang kami mempunyai sebuah bank dan kami boleh mengembangkannya bila-bila masa kami mahu. Dan kami memang berkembang.

Perkhidmatan Bank Grameen dapat dinikmati di lebih 46 000 buah kampung di Bangladesh, melalui 1, 267 buah cawangan dengan lebih 12 000 orang warga kerja. Mereka telah memberi pinjaman lebih dari $ 4.5 billion, dalam bentuk pinjaman berjumlah dua belas hingga lima belas dollar, dengan jumlah purata di bawah $200. Setiap tahun mereka memberi pinjaman lebih kurang setengah billion dollar. Mereka juga memberi pinjaman kepada peminta sedeqah untuk mereka berhenti dari meminta sedeqah dan memulakan perniagaan. Pinjaman perumahan adalah tiga ratus dollar. Ini adalah jumlah yang kecil bagi kita yang di dalam bidang perniagaan. Tetapi jika kita berfikir dari sudut kesan perseorangan: Untuk memberi pinjaman sebanyak $500 juta setahun ia memerlukan 3.7 juta orang, 96 % darinya adalah wanita, untuk membuat keputusan yang mereka boleh dan akan mengambil langkah-langkah untuk mengubah kehidupan mereka dan keluarga mereka; 3.7 juta orang perlu membuat keputusan yang mereka mampu untuk melakukan perubahan; 3.7 juta orang dapat menempuhi malam-malam yang penuh keresahan untuk hadir ke pejabat Bank Grameen pada pagi esoknya, dalam keadaan terketar-ketar tapi dengan penuh tekad. Nadi kepada pemberian kuasa ini terletak pada wanita-wanita perseorangan yang telah memilih secara bersendirian dan dalam kumpulan yang menghasilkan norma-norma baru secara bersinergi untuk tidak bergantung pada orang lain, usahawan-usahawan yang menghasilkan barangan dari rumah atau di kawasan kejiranan atau laman-laman rumah mereka untuk menjadi sebuah ekonomi yang berdaya saing dan berjaya. Mereka telah menemui suara mereka.

--

Apabila inspirasi kita dibangkitkan oleh tujuan-tujuan yang bermakna, kerja-kerja luar biasa, setiap pemikiran kita akan MEMECAHKAN sekatan-sekatan yang ada. Pemikiran anda akan merentasi sempadan-sempadan, kesedaran anda akan berkembang ke setiap arah, dan akan berada di dalam satu dunia yang baru, agung dan indah

--

Muhammad Yunus menjadi contoh orang yang melakukan perkara-perkara tersebut – peka dan menyedari akan kehendak manusia dan bertindak mengikut suarahatinya dengan menggunakan bakatnya untuk menyempurnakan kehendak itu pertama secara peribadi, kemudian dengan membina kepercayaan dan mencari penyelesaian kreatif kepada masalah-masalah dan akhirnya menginstituisikan keupayaan itu untuk memenuhi kehendak-kehendak masyarakat melalui sebuah organisasi. Dia menemui suaranya dalam dia membangkitkan inspirasi orang lain untuk menemui suara-suara mereka. Pergerakan skim pinjaman mikro sekarang tersebar ke seluruh dunia.

Ms 7-12




 
~HAWA~ © 2007 Template feito por Templates para Você