Luqman Hakim telah menasihati anaknya tentang sikap
manusia dan telatah mereka, katanya :
"Sesungguhnya seseorang itu tidak terlepas dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tidak mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T sahaja. Barangsiapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap sesuatu."
Saturday, December 20, 2008
BERSYUKUR..
Nikmat Bertambah Balasan Bersyukur
Anugerah rezeki berlipat ganda jika manusia ikhlas dan sentiasa mengingati Allah SWT.
MENGAPA seorang hamba Allah SWT sanggup bersusah payah mengerjakan sembahyang lima waktu dan sembahyang sunat yang lain dengan khusyuk, bersedekah dan berpuasa, membazar zakat, melaksanakan haji dan menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh?
Mengapa pula dia sanggup melipat gandakan kesabarannya ketika dihadapkan dengan pujukan syaitan dan rayuan syahwatnya? Untuk apa ketaatan dan kesabaran itu semua?
Jawabnya hanya untuk Allah SWT segala ibadatku, hidup dan matiku. Begitu indahnya hubungan percintaan ini. Bila hamba memuji Allah SWT, Dia membalasnya dengan pujian yang lebih baik.
Pada suatu hari, Ibnu Umar mendengar seseorang memuji Allah SWT dengan pujian yang paling indah. Rasulullah SAW bertanya: “Siapakah gerangan yang memuji Allah dengan lafaz itu? Seseorang menjawab: Saya, wahai Rasulullah. Baginda bersabda lagi: “Aku amat kagum dengan ucapan itu, kerana ucapan itu telah dibukakan pintu-pintu langit.” Ibnu Umar berkata, setelah saat itu aku tidak pernah meninggalkan bacaan itu. (Hadis riwayat Imam Muslim)
Tiada yang layak menerima pujian terbaik melainkan Allah SWT. Seseorang yang beradab kepada Allah SWT akan berasa di dalam dirinya banyak kelemahan walaupun manusia memuji atas kemuliaan dan kebijaksanaannya.
Sedangkan Rasulullah SAW, makhluk paling mulia di atas muka bumi ini tidak selesa dengan puji-pujian yang melampau ke atas diri Baginda. Hal ini pernah dinyatakan di dalam hadis Rasulullah SAW.
Daripada Anas bin Malik beliau berkata: Seorang lelaki berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Muhammad, engkau adalah pemimpin kami dan juga putera pemimpin kami. Wahai Muhammad engkau adalah lelaki yang terbaik di antara kami dan juga putera terbaik kami.” Kemudian Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia, katakanlah dengan sederhana dan janganlah kamu semua terpengaruh oleh pujukan syaitan. Aku adalah Muhammad bin Abdullah, aku hanyalah hamba Allah, aku tidak menyukai kedudukan yang lebih tinggi daripada apa yang telah ditetapkan Allah untukku.” (Hadis riwayat Al-Nasa’i)
Ada beberapa sebab mengapa kita suka memuji Allah SWT dan yang pertama, kerana mengharapkan Allah SWT membalas pujian itu dengan pujian yang lebih baik. Bukankah Allah SWT suka membanggakan hamba-Nya di sisi malaikat.
Bagaimanakah perasaan kita apabila mendengar Allah SWT memuji diri kita dengan sebutan: “Wahai hamba-Ku, wahai hamba yang soleh, wahai hamba yang taat, yang meninggalkan syahwatnya kerana-Ku, yang membeli syurga-Ku dengan hartanya, yang menjual dirinya di jalan-Ku. Wahai hamba tempat limpahan rahmat-Ku, tempat turunnya penjagaan dan perlindungan-Ku, tempat berkumpulnya segenap keredaan-Ku. Wahai hamba yang banyak memuji dan bersungguh-sungguh mencintai. Bagimu rahmat dan ampunan-Ku.”
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT apabila mencintai hamba-Nya, Dia memanggil Jibril dan berfirman, Sesungguhnya Allah mencintai dia, oleh itu, cintailah dia, kemudian Jibril mencintainya. Jibril pun menyeru malaikat di langit seraya berkata: Sesungguhnya Allah mencintai hamba ini, maka cintailah olehmu sekalian, lalu seluruh penghuni langit mencintainya. Akhirnya kecintaan itu disampaikan kepada seluruh makhluk di bumi.” (Muttafaqun Alaih)
Kedua, Al-Quran menyatakan balasan kepada orang yang memuji Allah SWT akan ditambah ke atasnya nikmat yang banyak. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya jika kalian bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat kepada kalian.” (Surah Ibrahim, ayat 7)
Pujian untuk Allah SWT dilafazkan kerana kita malu menerima berjuta nikmat dari-Nya tanpa membalas apa-apa. Malu kerana mengakui Allah SWT menyayangi kita tetapi hanya sedikit amal yang dipersembahkan untuk-Nya.
Siapakah yang mampu membeli nikmat sihat, iman dan Islam? Dengan nikmat itu manusia hidup bahagia, aman dan sejahtera. Harga ibadat yang kita lakukan tidak akan cukup untuk membeli nikmat Allah SWT itu.
Tetapi, Allah SWT dengan sifat-Nya yang Maha Pemurah menunjukkan satu ibadat yang mahal harganya, iaitu memuji Allah. Bukan hanya boleh membeli nikmat Allah SWT sedia ada, bahkan Allah SWT berjanji melipat gandakan nikmat lainnya.
Syaitan mengetahui rahsia ibadat yang sungguh bernilai ini sehingga dia berkata dengan kesombongan yang melampau yang bermaksud: “Dan Engkau (Allah) tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (memuji-Mu).” (Surah Al-A’raf, ayat 17)
Begitulah hakikatnya, satu pujian boleh mendatangkan kebaikan kepada yang memuji. Jika sesama insan kita kadang-kadang terpaksa memuji untuk mengharapkan balasan, mengapa kepada Allah SWT, seorang hamba amat terbatas melafazkan pujian demi nikmat kehidupan yang amat bernilai.
Begitulah manusia yang mengaku bijak pandai tetapi kurang logik berfikir mengenai Tuhannya. Sesungguhnya Allah SWT sukakan pujian dan hakikatnya pujian itu bukan untuk-Nya bahkan untuk diri orang yang memuji-Nya.
INTI PATI
* Seseorang yang beradab kepada Allah SWT akan berasa di dalam dirinya banyak kelemahan walaupun manusia memuji atas kemuliaan dan kebijaksanaannya.
* Al-Quran menyatakan balasan kepada orang yang memuji Allah SWT akan ditambah ke atasnya nikmat yang banyak.
* Pujian kepada Allah adalah satu ibadat yang mahal harganya. Bukan hanya boleh membeli nikmat Allah SWT sedia ada, bahkan Allah SWT berjanji melipat gandakan nikmat.
* Rasulullah SAW, makhluk paling mulia di atas muka bumi ini tidak selesa dengan puji-pujian yang melampau ke atas diri Baginda. Oleh itu, pujian selayaknya hanya kepad Allah SWT.
* Ijmak ulama sepakat mengatakan pakaian orang Islam tidak semestinya kopiah, serban dan jubah. Kita bebas memilih fesyen asalkan menutup aurat.
* Wajar kita memakai jubah, serban dan berkopiah dengan niat mengikut sunnah Rasulullah. Perbuatan itu sebahagian tanda kasih kepada Rasulullah.
* Sesiapa memakai jubah, serban dan kopiah dengan niat bermegah dan menunjukkan diri lebih alim, perbuatan itu ditegah dalam Islam yang termasuk dosa (riak).
Posted by Unit Hal Ehwal Wanita ALAM at 6:59 AM 0 comments
Labels: Sekapur Sirih..
Wednesday, December 17, 2008
ORANG BERILMU?
Orang berilmu sentiasa istiqamah, ikhlas dan berani, ketegasan mereka didorong oleh kesungguhan untuk mempertahankan prinsip kebenaran.
Orang yang berilmu mempunyai kedudukan yang tinggi dan mulia di sisi Tuhan dan masyarakat. Al-Quran menggelarkan golongan ini dengan pelbagai gelaran mulia dan terhormat yang menggambarkan kemuliaan dan ketinggian kedudukan mereka di sisi Allah SWT dan makhluk-Nya.
Mereka digelar sebagai "al-Raasikhun fil Ilm" (Al Imran : 7), "Ulul al-Ilmi" (Al Imran : 18), "Ulul al-Bab" (Al Imran : 190), "al-Basir" dan "as-Sami’ " (Hud : 24), "al-A’limun" (al-A’nkabut : 43), "al-Ulama" (Fatir : 28), "al-Ahya’ " (Fatir : 35) dan berbagai nama baik dan gelaran mulia lain.
Gelaran ini digandingkan Allah SWT dengan ayat-ayat yang membicarakan dasar-dasar akidah tauhid dengan antaranya menghubungkan kitab suci al-Quran dan fenomena alam sebagai "wasilah" atau "ayat" bagi mengenal dan mengakui-Nya.
Ia sekaligus menunjukkan bahawa daya usaha untuk memperoleh ilmu melalui pelbagai saluran dan pancaindera yang dikurniakan Allah SWT membimbing seseorang ke arah mengenal dan mengakui ketauhidan Rabbul Jalil.
Ini memberi satu isyarat dan petunjuk yang penting bahawa ilmu mempunyai hubungkait yang amat erat dengan dasar akidah tauhid. Orang yang memiliki ilmu, tidak terhad kepada ilmu pengajian Islam semata-mata - sepatutnya mengenal dan mengakui keesaan Allah SWT dan keagungan-Nya.
Hasilnya, orang yang berilmu akan gerun, tunduk, kerdil dan hina berhadapan dengan kekuasaan dan keagungan Allah SWT . Ibn Mas’ud pernah berkata "bukanlah dinamakan berilmu dengan hanya banyaknya (meriwayatkan) hadis, tetapi berilmu yang sebenar ialah (melahirkan) banyaknya perasaan gerun (kepada keagungan Allah).
Akidah murni mereka begitu jelas terserlah melalui bidang penyelidikan dan pengamalan kepakaran masing-masing. Mereka tunduk dan beriman kepada kekuasaan Allah SWT. Ini sekali lagi membuktikan bahawa perkara akidah dan roh fitrah Islam merentasi semua aspek kehidupan manusia khususnya para ilmuan dan cendekiawan yang terlibat secara langsung dalam kajian dan penyelidikan alam "kauniyyah" dan manusia.
Dalam surah ali Imran ayat ke-18, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".
Ketika menafsirkan ayat ini, Ibn Kathir membuat suatu rumusan yang menarik bahawa apabila Allah SWT menggandingkan "diri-Nya" dengan para malaikat dan orang yang berilmu tentang penyaksian "keesaan Allah SWT dan kemutlakan-Nya sebagai Tuhan yang layak disembah", ia adalah suatu penghormatan agung secara khusus daripada-Nya kepada orang-orang yang berilmu yang sentiasa bergerak di atas paksi kebenaran dan menjunjung tinggi prinsip ini serta berpegang teguh dengannya dalam semua keadaan dan suasana.
Rakaman penghormatan ini kekal sebagaimana kekalnya kitab wahyu ini sebagai peringatan kepada golongan berilmu bahawa mereka amat istimewa di sisi Allah SWT . Mereka diangkat sebaris dengan para malaikat yang menjadi saksi Keesaan Allah SWT. Mereka memikul amanah Allah SWT kerana mereka adalah pewaris para nabi.
Oleh yang demikian mereka perlu memiliki dan beramal dengan sifat-sifat yang jelas melalui perkataan yang dituturkan, tindakan yang diambil, perbuatan yang dilakukan, sikap yang ditunjukkan, dan seruan yang dibuat. Sifat dan sikap yang tidak selari dengan kemuliaan dan ketinggian kedudukan mereka boleh mencacatkan kewibawaan dan penghormatan masyarakat umum.
Sifat ikhlas, berani, dan tegas serta sentiasa istiqamah harus sebati dengan orang yang berilmu. Orang yang berilmu tidak sangat mengharapkan ganjaran, sanjungan, dan pujian manusia. Keikhlasan mereka adalah hasil daripada ramuan kecintaan dan keyakinan kepada prinsip kebenaran yang menjadi tonggak pegangan mereka.
Orang yang berilmu amat menjunjung tinggi prinsip kebenaran. Mereka tidak menafikan kebenaran dari pihak lain dan tidak pula membolot kebenaran untuknya secara mutlak. Kebenaran yang menjadi pegangan mereka bukan diukur daripada keluarnya perkataan atau perakuan hanya daripada mulut atau kelompok mereka sahaja. Bahkan kebenaran itu boleh juga datang daripada orang lain. Berlapang dada dan merendah diri adalah akhlak murni orang yang berilmu.
Kebenaran yang sejati adalah apabila datangnya daripada nas al-Quran al-Karim dan as-Sunnah an-Nabawiyyah. Keikhlasan Imam Malik mendorongnya menegah Khalifah al-Mahdi dan al-Rashid daripada mengangkat kitab karangannya al-Muwatta’ sebagai undang-undang dasar kerajaan. Imam al-Syafei pernah menyatakan bahawa :"Sesiapa yang mendapati hadis Rasulullah s.a.w. (yang sahih) yang bercanggah dengan pendapatku, maka menjadi kewajipannya untuk mengikuti nas hadis sahih tersebut dan meninggalkan pendapatku".
Keberanian orang yang berilmu adalah hasil kegerunan dan keyakinan teguh kepada kekuatan dan kekuasaan Tuhan Rabbul Jalil. Firman Allah SWT yang bermaksud :
"Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun."- Surah Fatir : ayat 28
Mereka percaya penguasa kuat, tetapi mereka lebih yakin bahawa Allah Maha Berkuasa atas sekelian makhluk-Nya. Kehinaan di sisi manusia kerana mempertahankan prinsip kebenaran dipandang lebih baik dan mulia daripada kehinaan di sisi Allah SWT kerana mengenepi kebenaran dek kerana untuk menarik perhatian atau mendampingi manusia. Orang yang berilmu boleh hilang kehormatan diri di sisi masyarakat umum jika tidak bersikap sedemikian.
Ketegasan orang yang berilmu pula adalah didorong oleh kesungguhan untuk mempertahankan prinsip kebenaran yang diamanahkan oleh Allah SWT. Mereka amat yakin bahawa menyatakan kebenaran dan perkara hak adalah amanah Allah SWT sekalipun mereka mengetahui risikonya amat besar.
Sebaliknya menyembunyikan kebenaran dan hak adalah suatu "jenayah" berat di sisi Allah SWT yang boleh memusnahkan kewibawaan dan kemuliaan dirinya. Orang yang berilmu amat yakin dengan pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesiapa yang disoal tentang sesuatu ilmu, lalu ia menyembunyikannya ia akan dikekang mulutnya pada hari kiamat dengan kekangan dari api neraka"
(Hadis Riwayat Tirmizi)
Fakta
Tokoh Islam dalam Pelbagai bidang
- Sains - Abu Abdullah al-Battani :((858 – 929 M); Abd-al Rahman Al-Sufi : (903 - 986 M), Abu Al-Kasim Al-Zahravi : (936 – 1013 M), Abu Ishaq Ibrahim Ibn Yahya Al-Zarqali : (1028 - 1087 M )
- Kimia - Abu Musa Jabir Ibn Hayyan : (750-803 M), Abbas Ibn Firnas : meninggal (888 M)
- Perubatan - Abu Ali Al-Hussain Ibn Abdallah Ibn Sina : (981 – 1037 M), Abu Marwan Ibn Zuhr : (1091- 1161 M)
- Pelayaran - Abu 'abd Allah Muhammad Ibn 'abd Allah Al-lawati At-tanji Ibn Battutah : (1304 – 1368 M)
- Astronomi dan matematik (Muhammad Ibn Musa Al-Khawarizmi : (780 – 850 M), Abu Jafar Muhammad ibn al-Hasan Khazin : (lahir 900 M )
- Optik - Abu Ali Hasan Al Haitham :(Lahir 965 M. )
-Sains politik - Abu Al-Hasan Ali Ibn Muhammad Ibn Habib Al-Mawardi : (Lahir 972 – 1058M)
-Muzik - Abu Bakr Muhammad Ibn Yahya al-Saigh Ibn Bajjah (Lahir 1082 M)
( Sumber : Berita Minggu 12 Feb 2006 dengan sedikit pindaan )
http://www.darulkautsar.com/klasik/umum/berilmu.htm
Posted by Unit Hal Ehwal Wanita ALAM at 8:11 AM 0 comments
Labels: Info..
Monday, December 15, 2008
MIMPI RASULULLAH S.A.W
MIMPI
Renungan
Nabi Muhammad saw bersabda:
"Sesungguhnya aku telah mengalami mimpi-mimpi yang menakjubkan pada malam sebelum aku di Israqkan..."
1. Aku telah melihat seorang dari umatku telah didatang oleh malaikatul maut dengan keadaan yg amat menggerunkan untuk mengambil nyawanya, maka malaikat itu terhalang perbuatannya itu disebabkan oleh KETAATAN DAN KEPATUHANNYA KEPADA KEDUA IBUBAPANYA .
2. Aku melihat seorang dari umatku telah disediakan azab kubur yang amat menyiksakan, maka ia telah selamatkan oleh berkat WUDUKNYA YANG SEMPURNA.
3. Aku melihat seorang dari umatku sedang dikerumuni oleh syaitan-syaitan dan iblis-iblis laknatullah, maka ia diselamatkan dengan berkat ZIKIRNYA YANG TULUS IKHLAS kepada Allah.
4. Aku melihat bagaimana umatku diseret dengan rantai yang diperbuat daripada api neraka jahanam yang dimasukkan dari mulut dan dikeluarkan rantai tersebut ke duburnya oleh malaikat Ahzab, tetapi SOLATNYA YANG KHUSYUK DAN TIDAK MENUNJUK-NUNJUK telah melepaskannya dari seksaan itu.
5. Aku melihat umatku ditimpa dahaga yang amat berat,setiap kali dia mendatangi satu telaga dihalang dari
meminumnya, ketika itu datanglah pahala PUASANYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH SWT memberi minum hingga ia merasa puas.
6. Aku melihat umatku cuba untuk mendekati kumpulan para nabi yang sedang duduk berkumpulan, setiap kali dia datang dia akan diusir, maka menjelmalah MANDI JUNUB DENGAN RUKUN YANG SEMPURNANYA sambil memimpinnya ke kumpulanku seraya duduk disebelahku.
7. Aku melihat seorang dari umatku berada di dalam keadan gelap gelita disekelilingnya, sedangkan dia sendiri di dalam keadaan bingung, maka datanglah pahala HAJI DAN UMRAHNYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH SWT lalu mengeluarkannya dari kegelapan kepada tempat yang terang-benderang.
8. Aku melihat umatku cuba berbicara dengan golongan orang mukmin tetapi mereka tidakpun membalas bicaranya, maka menjelmalah SIFAT SILATURRAHIMNYA DAN TIDAK SUKA BERMUSUH-MUSUHAN SESAMA UMATKU lalu menyeru kepada mereka agar menyambut bicaranya, lalu berbicara mereka dengannya.
9. Aku melihat umatku sedang menepis-nepis percikan api ke mukannya,maka segeralah menjelma pahala SEDEKAHNYA YANG IKHLAS KERANA ALLAH SWT lalu menabir muka dan kepalanya dari bahaya api tersebut.
Moga kita sama2 beroleh manfaat darinya..
Posted by Unit Hal Ehwal Wanita ALAM at 9:55 AM 0 comments
Labels: Tazkirah..
BOMOH..
Kisah Bomoh...
Sebuah kisah antara saya dan bomoh....sekadar untuk menguji sejauh mana syaitan dan kesesatan yang dilakukan oleh mereka-mereka ini....
Saya telah mendengar kisah seorang bomoh yang handal dalam mengenakan orang lain (dengan sihirnya) seperti melingkupkan perniagaan orang lain. Bomoh ini amat terkenal kerana sering berjaya membuatkan perniagaan orang lain hancur.... nauzubillah...
Saya terpanggil untuk bertemu dan kononnya ingin sekali melingkupkan perniagaan seseorang. Maka terjadilah dialog sebegini antara saya dan bomoh
handal tersebut.
saya: Semenjak perniagaan si polan itu dibuka, saya lihat hampir setiap hari pelanggannya datang malah kadangkala jumlahnya terlalu ramai...
bomoh itu mendengar dengan teliti sambil mengangguk-angguk kepala. (aksinya seperti seorang profesor sedang berfikir dan kelihatan handal)
saya: Rasa sakit hati dengan perniagaan mereka dan saya ingin tok bomoh lingkupkan perniagaannya agar pelanggan berlaih pula ke kedai sekitarnya pula.
bomoh tadi berasa hairan lantas bertanya kepada saya. 'anak ini berniagakah?'
saya menjawab: tidak. saya hanya.......
mendengar jawapan saya, bomoh tadi makin hairan. 'biasanya jika orang berniaga sahaja yang datang untuk melingkupkan perniagaan saingan tetapi anak ini mahukan orang lain yang mendapat untung padahal anak ini tidak berniaga sama. Mengapa pula begitu?'
Saya: Saya kasihan dengan perniagaan kedai makanan lain. sejak si polan ini berniaga, peniaga kecil di sekitarnya kurang mendapat pelangan. saya mahu si polan tadi lingkup dan pastinya pelangan yang lain akan beralih pula kepada kedai-kedai kecil ini.
bomoh tadi mengangguk. wajahnya nampak serius benar. 'baiklah. kalau anak mahukan pak cik lingkupkan perniagaan mereka, anak perlu bawa barang-barang ini' lalu si bomoh menyebutkan peralatannya untuk
mengenakan sihir terhadap si polan tadi.
'sebelum itu, anak kena dapatkan nama pemiliknya, atau nama kedai sahaja sudah cukup. biar pak cik ajar cukup-cukup.
saya: ada...nama pemilik saya kurang pasti tetapi nama kedainya cukup saya ingat...
'bagus. senang kerja pak cik. apa nama kedai yang anak hendak kenakan ini?' tanya bomoh tadi.
saya: er..Mcdonald dan KFC......
Serta merta wajah bomoh tadi bertukar merah. marahnya bukan kepalang dengan saya. katanya saya ingin mempermainkannya tetapi saya menjawab.
'Saya benar-benar pakcik. saya mahu membantu golongan perniagaa kecil di luar sana. Kalau boleh tutup McDonald dan KFC itu, tentu pelangan akan beralih angin ke kedai lain....(dalam hati saya tertawa besar)
Kemudian tidak perlu saya terangkan lain dan sekadar saya katakan bomoh ini belum handal dan syaitannya juga belum mampu melingkupkan perniagaan besar sebegitu....
moralnya... mereka ini hanya bermain silap mata. 'sesungguhnya syaitan itu tidak berkuasa ke atas sesiapa...... hanya mengunakan tipu daya sahaja... dan bagi mereka yang percaya tentang perkara ini... kembalilah pada Allah dan atur semula perniagaan yang pernah anda anggap sebagai dikenakan sihir oleh si polan dan si polan lain. dengan ilmu kita boleh maju dan dengan ilmu (jika tidak digunakan dengan betul) kita boleh lingkup juga.... atur startegi perniagaan dan amanah.. InsyaAllah anda semua akan maju..
Wallahualam. ... maaf andai ada yang tersinggung dan saya hanya insan kecil yang tidak mampu untuk melakukan apa-apa kecuali dengan izin NYa... Allahuakbar
cerita ini dari email..... fikir-fikirkanlah....
Posted by Unit Hal Ehwal Wanita ALAM at 9:52 AM 0 comments
Labels: Renungan..