"Pastikan Anda Telah "Install" Monzilla Fire Fox dan Flash Player Sebelum Melayari Portal ini"
SELAMAT BERJUANG

Selamat berjuang sahabatku...

semoga Allah berkatimu
kenangan indah bersamamu
takkan ku biar ia berlalu...

berjuanglah
hingga ke akhirnya

dan ingatlah semua ikrar kita...

Dalam perjalanan mereka pulang ke rumah,
Luqman Hakim telah menasihati anaknya tentang sikap
manusia dan telatah mereka, katanya :

"Sesungguhnya seseorang itu tidak terlepas dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tidak mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T sahaja. Barangsiapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap sesuatu."


Wednesday, December 10, 2008

AL LUGHAH AL ARABIYYA..


Bahasa Arab banyak keistimewaan


BAHASA Arab! Mengapa bahasa Arab? Apa perlunya bahasa Arab? Siapa, bila, kenapa, di mana dan bagaimana?

Bagi seorang muslim di Malaysia, bahasa Arab bukanlah sesuatu yang asing. Sejak lahir mereka telah mendengar lafaz azan yang sememangnya bahasa Arab. Dalam kehidupan seharian mereka menggunakan bahasa Arab iaitu ketika berwuduk, azan, iqamat, solat dan berdoa.

Malah tiga perlima daripada rukun Islam adalah dalam bahasa Arab. Umat Islam mengucap dua kalimah syahadah, bersolat dan menunaikan haji menggunakan bahasa Arab sepenuhnya. Umpamanya dalam solat lima waktu mereka bertutur dalam bahasa Arab. Tanpa bacaan al-Fatihah, solat tidak sah.

Begitu juga al-Quran yang menjadi pedoman hidup orang Islam juga dalam bahasa Arab. Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. lebih 1,400 tahun lalu dan sehingga kini ia tidak pernah berubah walau satu huruf pun, apatah lagi perkataan atau ayat. Walaupun begitu, ia masih boleh difahami berbanding teks dalam bahasa lain yang sudah ditelan zaman.

Walaupun al-Quran diterjemahkan dalam berbagai-bagai bahasa di dunia ini, namun ia tidak akan dapat menyaingi teks yang asal. Malah ada ketikanya terjemahan yang digunakan bukan sahaja tidak tepat, malah berbeza dengan kehendak yang asal.

Umpamanya dalam surah al-Insyirah yang rata-rata dihafal oleh kebanyakan orang Melayu. Ayat kelima dan keenam diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu seperti berikut: Maka sesungguhnya di samping kesukaran terdapat kesenangan. Dan sesungguhnya di samping kesukaran terdapat kesenangan.

Persoalan sekarang, yang mana lebih banyak sukar atau senang? Di sini terdapat tiga jawapan. Pertama, sukar lebih banyak daripada senang. Kedua, senang lebih banyak daripada sukar. Ketiga, sukar dan senang sama banyak. Jadi yang mana satu jawapannya?

Seandainya kita hanya merujuk kepada teks terjemahan kita akan memberikan jawapan yang ketiga. Ini kerana di samping sukar ada senang. Dan di samping sukar ada senang. Maknanya ada sukar ada senang, ada sukar ada senang. Jadi sama banyaklah.

Untuk menjawab persoalan ini kita sewajibnya melihat kepada teks yang asal dalam bahasa Arab. Perkataan sukar disebut sebagai al-usr. Perkataan senang pula disebut sebagai yusran. Apakah perbezaannya? Perkataan sukar mengandungi imbuhan al manakala perkataan senang tidak ada imbuhan al.

Perkataan yang mengandungi imbuhan al adalah makrifah. Maknanya ia tertentu dan khusus. Dalam bahasa Inggeris imbuhan al hampir diterjemahkan sebagai the. Perkataan yang tidak mengandungi imbuhan al dan berbaris dua adalah nakirah. Maknanya ia umum dan tidak khusus. Dalam bahasa Inggeris imbuhan tanpa al dan berbaris dua hampir diterjemahkan sebagai a.

Jadi, yang mana banyak? A atau the? Sudah tentulah a yang lebih banyak. Sehubungan itu, bolehlah kita faham kenapa satu kesukaran terdapat berbagai-bagai kesenangan.

Sejarah bahasa


Bahasa Arab berasal daripada rumpun bahasa Samiyah yang dinisbahkan kepada keturunan Sam anak Nabi Noh. Mereka terbahagi kepada tiga golongan. Pertama, golongan Bayidah yang terdiri daripada kabilah Cad, Thamad, Tasm, Jadas, Umaym dan Jurhum.

Golongan kedua pula ialah Caribah yang dinisbahkan kepada Yacrab bin Qahtan. Seterusnya pula ialah golongan Mustacribah yang berketurunan Nabi Ismail dan mereka menetap di Hijaz pada abad ke-19 sebelum Masihi.

Bahasa Arab merupakan salah satu daripada tiga bahasa utama yang memainkan peranan penting dalam sejarah peradaban manusia. Pengkaji sejarah telah menambah dua lagi bahasa menjadikan kesemuanya lima bahasa utama yang telah memberi sumbangan besar dalam sejarah perkembangan tamadun manusia. Bahasa-bahasa tersebut ialah bahasa Cina Kuno, bahasa Sanskrit, bahasa Latin, bahasa Greek dan bahasa Arab.

Walau bagaimanapun, hanya bahasa Arab yang masih digunakan dan terus berkembang sehingga kini. Berdasarkan kenyataan ini bolehlah dikatakan bahawa bahasa Arab mempunyai ciri-ciri istimewa yang membolehkan ia bertahan. Pengkaji-pengkaji bahasa masih terus berusaha menyelidik potensi bahasa tersebut.

Antara ciri-ciri istimewa bahasa Arab ialah ia telah dipilih Allah sebagai bahasa rasmi al-Quran yang merupakan pedoman asas untuk kehidupan di dunia dan di akhirat. Ini dijelaskan dalam surah Yusuf ayat kedua bermaksud: Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa al-Quran dengan berbahasa Arab, agar kamu menggunakan akal (untuk memahaminya).

Pemilihan bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran telah memberikan jaminan terhadap keunggulan bahasa itu. Maksudnya, selagi agama Islam atau al-Quran masih wujud di muka bumi, selagi itulah bahasa Arab akan tetap berkembang. Ini dijelaskan dalam surah aI-Hijr ayat sembilan yang bermaksud: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Zikr (al-Quran), dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.

Pemilihan bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran merupakan satu keistimewaan bagi bahasa tersebut kerana ia dapat mengangkat martabat bahasa Arab. Seandainya al-Quran dan hadis bukan dalam bahasa Arab, maka bahasa Arab tidak mempunyai keistimewaan dan kemungkinan besar sudah hilang ditelan zaman seperti bahasa-bahasa kuno yang lain.

Oleh kerana pemilihan bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran dilakukan oleh Yang Maha Mengetahui, maka sudah tentu bahasa itu ada kriteria istimewa yang tidak terdapat dalam bahasa lain. Sehubungan itu satu kajian mendalam tentang ciri-ciri keistimewaan bahasa Arab yang membolehkannya menjadi bahasa pilihan al-Quran dan hadis perlu dilakukan.

Antara peranan bahasa Arab yang penting ialah membantu perkembangan tamadun peradaban kuno yang lain seperti Yunani, Greek, Parsi dan Hindu. Kemudian bahasa Arab tersebar ke Barat pada Zaman Pencerahan (Renaissance) melalui pusat kebudayaan Islam seperti di Baghdad (Iraq), Kaherah (Mesir), Fes (Maghribi) dan Granada (Sepanyol).

Zaman keemasan bahasa Arab bermula pada abad ke-4 hingga abad ke-17 . Ketika itu ia digunakan sebagai bahasa ilmu pengetahuan dan teknologi antarabangsa. Pada abad tersebut, ekonomi, politik dan ilmu pengetahuan bangsa Arab yang beragama Islam paling unggul sehingga disebut sebagai pembuka aspirasi kepada semangat zaman moden.

Pengaruh ke atas bahasa lain

PENGARUH dan sumbangan bahasa Arab terhadap bahasa asing menakjubkan pengkaji sejarah. Ia bukan hanya memperkayakan perbendaharaan kata, struktur atau aliran pemikiran bahkan kadang-kadang dapat menggantikan kedudukan bahasa tempatan.

Semenjak abad ke-4, bahasa Arab telah menjadi bahasa ilmu pengetahuan dan bahasa kebudayaan. Pada abad ke-13 hingga abad ke-14, bermula penterjemahan karya-karya bahasa Arab ke dalam bahasa Latin.

Sebenarnya, perkembangan bahasa Arab juga berlaku melalui proses pertembungan (akulturasi) budaya Islam dengan budaya Eropah seperti ketika berlakunya Perang Salib. Kesannya, bahasa Arab telah dapat memperkayakan perbendaharaan kata pelbagai bahasa utama di dunia sekarang ini seperti bahasa Inggeris, bahasa Perancis dan bahasa Sepanyol.

Menurut pengkaji bahasa, terdapat kira-kira 2,000 perkataan dalam bahasa-bahasa di negara Eropah berasal daripada bahasa Arab. Daripada jumlah tersebut terdapat antara 400 hingga 500 perkataan tersebut masih digunakan dalam komunikasi harian pada hari ini.

Satu kajian lain pula berjaya mengumpulkan 400 kata pinjaman Arab yang biasa digunakan dalam bahasa Inggeris berdasarkan Random House Dictionary of the English Language, Webster’s Third New International Dictionary dan Shorter Oxford English Dictionary.

Antara bahasa di benua Eropah yang paling banyak menerima pengaruh perbendaharaan kata bahasa Arab ialah bahasa Sepanyol. Ini mungkin disebabkan Islam pernah menguasai negara itu selama kira-kira 800 tahun.

Selain Eropah, perkembangan perbendaharaan kata bahasa Arab terus meluas sehingga ke Asia Timur dan kebanyakan negara Afrika.

Kedatangannya ke kawasan-kawasan tersebut telah mempengaruhi perbendaharaan kata bahasa tempatan sehingga ia dapat mengambil alih kedudukan bahasa tempatan seperti bahasa Aramit, bahasa Kaldanit, bahasa Himyar, bahasa Qibti dan bahasa Suryani di kawasan Asia Barat.

Berdasarkan perbincangan di atas, secara umumnya bahasa Arab adalah satu-satunya bahasa terawal manusia yang masih digunakan sehingga sekarang. Pengaruhnya terhadap bahasa-bahasa lain adalah besar dan dapat dilihat pada perbendaharaan kata yang digunakan dalam bahasa-bahasa lain di seluruh dunia.

Sehubungan itu kita berasa yakin bahawa pengaruh bahasa Arab yang mudah meresap dalam pertuturan dan penulisan di kalangan sesebuah masyarakat sebagai asas kukuh untuk memudahkan seseorang menggunakan perbendaharaan kata bahasa Arab sama ada dalam bentuk lisan mahupun tulisan.



- DR. ABD. RAZAK ABU CHIK ialah guru bahasa Arab di SMK St. Paul, Seremban, Negeri Sembilan.

Sumber: Utusan

0 comments:

 
~HAWA~ © 2007 Template feito por Templates para Você