TEGAS BUKAN KERAS
Imam Malik dengan berani berkata kepada wakil Khalifah Harun al-Rashid, "Jika tuan khalifah ingin belajar kitab Muwatta' daripada ku, hendaklah baginda datang kemari, bukan aku ke istananya. Ilmu itu didatangi, bukan mendatangi". Demi ilmu, Harun al-Rashid pun datang kepada imam malik.
Indah sungguh apabila ulama' dan umara' sama-sama tuduk kepada Allah. Ulama mesti berdiri teguh sebagai tunggak peribadi yang berani menegur, menasihati dan mengingatkan pemerintah. Mereka wajib bebas daripada belenggu kepentingan diri dan tidak berasa takut ataupun segan untuk berhadapan dengan pemerintah. Hal inilah yang dimaksudkan oleh sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: " Alangkah baiknya seorang raja yang berada di pintu ulama', dan alangkah buruknya seorang ulama' yang selalu berada di pintu raja-rajanya".
Sejarah telah membuktikan para ulama' al-'amilin tidak pernah gentar menegur kesalahan pemerintah. Mereka mewarisi teladan Nabi Musa ketika berhadapan dengan firaun, Nabi Ibrahim ketika berdepan dengan namrud dan Nabi Muhammad ketika berhadapan dengan bangsawan Quraisy. Mereka sangat tegas dari segi prinsip tetapi sangat lemah lembut dari segi pendekatannya.
Mengapa ulama'-ulama' silam begitu serius menasihati pemerintah? Hal ini kerana ulama'-ulama' ini menyedari bahawa majoriti rakyat sangat dipengaruhi oleh pemerintah mereka. Bagaimana perilaku pemerintah, begitulah perangai rakyat jelata. Contohnya, pada zaman pemerintahan khalifah al-walid yang sukakan bangunan cantik, minat rakyat ketika itupun kepada seni.
Pada zaman khalifah Sulaiman yang sukakan perempuan dan arak, minat dan perbuatan rakyatnya pun berlegar disekitar perempuan dan arak juga. Namun, pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang warak dan beramal soleh, tindakan rakyatnya pun ikut kearah amal soleh. Atas dasar inilah ulama' al-'amilin sentiasa berkerja keras menegur dan menasihati pemimpin.
Pendekatan kasih sayang dalam menasihati pemerintah ini dituntut oleh Rasulullah s.a.w. menerusi sabdanya yang bermaksud: "sesiapa yang ingin menasihati pihak berkuasa yang mengabai sesuatu perkara, maka jangalah ia menyampaikan secara terang-terangan tetapi hendaklah ia memegang tangannya dan menyampaikan nasihatnya secara bersendirian." (Riwayat Ahmad dan al-Hakim).
Ulama'-ulama' dahulu mempengaruhi, bukan dipengaruhi oleh pemerintah. Situasi ini hanya mampu dilakukan oleh ulama' yang berkerja kerana Allah, dan berkhidmat untuk manusia. Namun, apabila dilihatnya pemerintah berdegil, ulama' al-'amilin akan menjauhkan diri dari mereka. Mereka tidak tahu menjadi tukang angguk kepada kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah.
Islam akan malap apabila ulama' yang cinta dunia mengelilingi pemerintah seperti Haman dan Qarun mengelilingi firaun. Hanya apabila ulama' cintakan taqwa dan iman, mereka layak menjadi pewaris nabi. Sebaliknya, jika ulama cintakan harta, mereka akan hilang wibawa dan tidak dihormati lagi.
Sumber: Fityan Islami
0 comments:
Post a Comment